I Follow...

Thursday, September 26, 2013

Ku cari dia...

Dalam kegelapan, dalam kesuraman, dalam kekalutan ku mencari dia.... Dia ku jadikan matlamat hidup ku, dia adalah sebab untuk ku meneruskan hidup, dia ku gantungkan harapan... pada dia ku cari sebuah kebahagiaan... dia, dia,. iyer..dia.... Tapi aku lupa... dia juga tidak punya apa-apa... dia jua seperti ku yang tidak punya apa-apa.... Pantas saja ku disakiti... enak saja ku dilukai...
  
"Makhluk adalah miskin tidak ada apa apa. Tujuan hidup sebenar ialah Laa ila haillallah, membuang semua perkara di hati kecuali Allah. Isteri yang mencari kebahagiaan dari suami akan tertekan kerana suami tidak ada apa apa cuma makhluk ALlah. Cari kebahagiaan dengan mengenal Allah dan mencari redha Allah"... -  Prof Dr Muhaya
  
"Ya Allah... terimalah aku, hambaMu yang lemah dan hina ini.  Jangan biarkan aku bergantung dan meminta selain dariMu.  Jangan izinkan hatiku dilukai.. Anugerahi aku kebahagiaan dalam mencariMu, rahmati aku sentiasa di bawah lindunganMu... Wahai Yang Maha Mendengar... dengarlah rayuanku... Wahai Yang Memperkenankan doa... kabulkan permintaanku... Aku juga ingin bahagia...."






Sunday, September 8, 2013

Bila sepi itu bertandang lagi... (Ia tidak pernah pergi...)

Sesungguhnya ia tidak pernah pergi.  Ia tidak pernah meninggalkan ku, walau sepantas mana ku cuba melarikan diri, walau sekuat mana aku cuba menghindari... namun ia tetap membayangi setiap gerak ku... Mungkin aku harus pasrah.  Biarlah ia terus hadir, biarlah ia terus menyelubungi diri ini... Pasti ini yang terbaik untuk ku, agar aku selalu dekat padaNya...







Wednesday, September 4, 2013

Selamat hari lahir (Hanya doa dari kami mengiringi hari lahir mu..)

Hari ini 4 September adalah ulangtahun hari lahir mu.  Kali ini aku dan anak-anak tidak lagi dapat mengucup tangan mu, makan bersama dan berdoa seperti selalu... juga tiada lagi ucapan 'Happy Birthday abah...'  Di hari ulangtahun mu kali ini cuma doa dan Al Fatihah yang dapat kami hadiahkan.  Namun rindu kami pada mu tidak pernah pudar... Mungkin dengan menatap gambar-gambarmu sedikit sebanyak dapat mengubat rindu kami. Wajah mu yang sering mengukir senyuman tak mungkin kami lupakan... kasih sayang, kesabaran dan ketulusan hati mu tidak mungkin terbalas... Sayang... terima kasih kerana menyintai dan menyayangi diri ini... Dan syukur ku tidak terhingga bahawa kita telah dikurniai dengan putera dan puteri yang baik. Mereka anak-anak yang begitu menyokong dan prihatin.  Abah... umi selalu doakan yang terbaik untuk anak-anak kita dan InsyaAllah umi dan anak-anak akan cuba untuk jadi yang terbaik.  Damailah abah di sana... Abah seorang suami dan abah yang baik..  pasti Allah tempatkan abah di tempat yang baik juga... Aminnnn...  


Monday, August 19, 2013

HADIRNYA KESEDIHAN...

 
(Merdu bait-bait puisi ini.. menyentuh pilu sanubari ku... Hadirlah kesedihan, andai itu bisa lebih mendekatkan ku kepada Yang Maha Pengasih Yang Maha Penyayang... Ya Ilahi Rabbi...)
HADIRNYA KESEDIHAN
(karya Dr. Mohd Asri Zainul Abidin)

kesedihan..
engkau sering datang tanpa diundang
engkau menjelang tanpa ungkapan salam
engkau menerpa masuk tanpa dijemput
engkau hinggap lekat di berbagai sudut

dengan wajah yang menyimbah resah..
dengan lidah yang menempah gundah..
dengan cara yang membawa lara..
dengan bahasa yang menjelma duka..
bagimu rupa yang bermacam warna..
hingga ku lupa membezakan nama..

kesedihan..
pada awal mengenalimu, aku begitu terkedu
wajahmu nan suram seakan hidup menjadi kelam
aku terdiam dan terbungkam,
siang bagaikan malam..
cahaya bagaikan kelam..
kau cuba palutkan rasa takut dan kalut
sehingga nafas menjadi semput dan susut
lantas kau rampas ceria hidup yang dihirup

kesedihan..
tika ini, telah lama ku mengenalimu
apa tidak, sering kau lalu dan bertamu
entah berapa kian kali kau datang ke sini
entah berapa waktu ku kau ganggu
entah berapa medan dah kau ku tentang..
entah berapa lama kita berkawan tanpa sayang
datang dan pulangmu sama sahaja
hadir dan pergi tiada bedanya..

kesedihan! sejak dulu apa yang ku tahu..
setiap kali ku lihat rupa sayumu,
ku panggil syahdu nama tuhanku
setiap kali ku dengar telapak kakimu bergerak,
ku seru tuhanku dengan sebak..
setiap kali ku rasa kau mula melangkah,
jiwa ku pun pasrah, pada Allah ku berserah

kesedihan! ku tahu..
kau kan terus datang, sukar dihalang..
kau kan terus bertamu, sukar dijemu..

namun, pabila kita berjumpa..
kau kan hambat dengan airmata munajat
kau kan ku lontar dengan esakan istighfar
kau kan ku siaga dengan tangisan doa
kau kan ku gempur dengan rasa syukur

kesedihan..hadirlah jika itu yang kau mahu
moga jelmamu selalu membangunku pilu di malam syahdu
untuk ku basahi pipi dengan meratapi: “ya rabbi! Kasihi hambaMu ini!

Dr MAZA
13042009
 


Wednesday, August 14, 2013

Hari Raya kami.. (dalam tawa ada sendu, dalam senyum terpahat rindu..)

Tiada apa yang ingin ku ungkapkan... Inilah Hari Raya kami... indah dan pasrah...  (Raya tak cukup korum..huhu..)














hahaha.. yang ini Shiha kena sengat tebuan di Hari Raya...


Thursday, August 1, 2013

Bila Takbir Bergema...


Ramadhan telah semakin hampir ke penghujungnya... Tak lama lagi akan bergemalah takbir di Syawal mulia.  Teman-teman pejabat semuanya sibuk dengan persiapan Hari Lebaran.  Awal-awal dah mohon cuti untuk balik kampung.  Aku pulak blank jer kepala ni.  Tak tahu apa yang harus dipersiapkan.  Nanti balik kampung, rumah pun tiada berpenghuni.  Kalau dulu sibuk fikir nak masak apa di pagi raya dengan emak sebab selepas solat Aidil Fitri rumah emak akan sesak dengan anak-anak dan cucu-cucu... hingga tak cukup pinggan mangkuk dan cawan dibuatnya.  Selalunya emak akan suruh aku buat nasi impit, kuah kacang, rendang.  Tidak ketinggalan mee rebus... :-)  masa tu memang rasa letih tapi ikut jer la cakap emak.  Dia nak menjamu anak cucunya... Tapi kini semuanya tinggal kenangan.  Emak telah tiada... aduh sedih sangat.. Tiada lagi suara emak yang suruh itu dan ini...Tiada lagi emak untuk ku gembirakan hatinya.. untuk ku ikut perintahnya... Memang benar kata orang, kita akan lebih menghargai sesuatu apabila kita telah kehilangannya.  "Mak.. Yah rindu sangat kat mak... :-( "  (Al-Fatihah).  

Bukan ketiadaan emak saja yang membuatkan ku terasa sepi dan hambar untuk menyambut Hari Raya tahun ni.  Tambah sebak dan pilu hubby pun telah dijemput pergi.  Raya tahun lepas kami berhari raya di hospital jer sebab pada dua Hari Raya hubby terpaksa dikejarkan ke hospital kerana demam panas dan jangkitan kuman.  2 minggu juga dia ditahan di wad.  Tidak ingin aku mengingati saat-saat pilu sebegini. Tak sampai hati untuk ku kenang semula saat-saat derita yang ditanggungnya.  Sudah-sudahlah aku melihat penderitaannya.. Cukup-cukuplah.. Telah ku tetapkan bahawa aku hanya ingin mengingatinya dalam keadaan dia yang paling baik, paling sihat, paling ceria.  Aku ingin mengingatinya dengan senyuman terukir di bibirnya.   Kerana dia yang terbaik, kerana dia yang terindah....kerana dia telah menemaniku selama 24 tahun...(Ya Allah, rahmati rohnya... tempatkannya dalam golongan hambaMu yang beriman dan beramal solleh...) Aminnn....

Pon begitu... bila ku kenang dan lihat muka anak-anak ku rasakan tidak wajar untuk aku hilang semangat.  Mereka telah kehilangan seorang ayah yang selama ini bersama-sama sibuk melayan kerenah mereka menyambut Hari Raya... Dan kini adalah menjadi tanggungjawab ku sebagai ibu untuk mempastikan anak-anak ku bahagia dan gembira.  Selagi aku masih ada, tidak mungkin ku abaikan kebahagian mereka.  Aku harus lebih bersemangat, lebih kuat.  Kita akan sambut Hari Raya tahun ini seperti biasa.  Kita akan masak-masak kat rumah opah... kita buka luas-luas pintu rumah opah untuk sedara mara datang bertandang. Kita juga akan menziarahi sanak saudara Insha Allah.  Pastinya opah dan abah juga mengharapkan kita gembira.  Tentu opah dan abah tak suka kita bersedih lebih-lebih lagi di hari mulia ini.... Jom.. kita raikan Hari Mulia ini dengan penuh kesyukuran dan marilah kita iratkan ikatan tali silaturrahim di hari lebaran ini...  Mari baca apa kata Dr. Maza .DI SINI. "Ini Hari Kemenangan, Bukan Hari Ratapan"

Pulanglah...

Monday, July 29, 2013

Iftar (aku dan Shiha..) huhu.. kesian kami tinggal berdua jer...

"Sunyi nyer" kata Shiha... "Ha ah.. kesian kita kan" balas ku...hmmm... Dah tinggal berdua cam ni lah... Ok lah, malas nak tulis panjang-panjang.. sajer nak tunjuk menu iftar kami...





Menu lain tak sempat nak ambik gambar... :-)


Wednesday, July 17, 2013

Whats cookin' babeh... :-)

Biasa la kan, bulan Ramadhan ni selain dari amalan-amalan yang disarankan yang lebih popular ialah MAKANAN..!!!

Hari ni dah hari ke-8 puasa, belum sekali pun ku kunjungi Bazar Ramadhan.  Masak sendiri jer, lagipun tinggal kami 3 beranak jer...  Sejenis lauk dan sejenis sayur... cukup la yer anak-anak ku... :-)

Hidangan biasa-biasa jer pon... sajer nak show off... hahahah.... Layannnnnnnn...

(Ya Allah berkati lah rezeki yang Kau beri dan jauhkan kami dari azab api neraka...) 
Aminnn...




Alhamdulillah... syukur atas rezeki yang dikurniakan Ilahi...


Tuesday, July 9, 2013

Ramadhan... hadirlah dan dakapi ku dalam maghfirahmu...


Ramadhan datang lagi.  Esok insha Allah kita semua akan mulakan ibadah puasa.  Namun Ramadhan kali ini amat berbeza.  Kali ini aku berpuasa tanpa dua orang insan yang ku kasih.  Tahun lepas masih ada hubby dan emak.  Masih terbayang di mataku betapa hubby cuba berpuasa pada hari pertama puasa tahun lepas.  Tapi waktu berbuka puasa dengan hanya sedikit air dan sesuap makanan, hubby muntah.  Hari-hari seterusnya walaupun tidak berpuasa hubby memang tiada selera makan.  Kini walaupun dia telah tiada, aku terasa ingin untuk mendakap tubuh lesu itu agar hilang lenyap deritanya.. (damailah hendaknya kau di sana...)

Emak pula setiap kali berbuka puasa mesti inginkan kuih-kuih yang lembut dan manis.  Masa dulu-dulu emak selalu buat kuih banyak-banyak, bertukar juadah dengan jiran-jiran dan bawa ke surau.  Seronoknya puasa masa tu.  Kesian pula anak-anak ku tidak dapat merasai suasana sebegitu. 

Ok.. semua itu telah berlalu.  Segalanya hanya tinggal kenangan yang kadangkala begitu mengusik jiwa.  Semoga Allah sentiasa memberkati mereka dan tempatkan mereka dalam golongan hambaNya yang beriman dan beramal solleh.  Amin...

Aku yang masih berdiri di sini harus terus melangkah.  Biar apa pun, aku kena kuat, tabah dan berani untuk terus menjalani hidup ini.  Allah telah takdirkan begini, dan sudah pasti Allah lebih tahu apa yang terbaik untukku.  Ya Allah, jadikan setiap langkah ku membawa aku lebih hampir kepadaMu.  Kurniakan aku kebaikan di dunia dan di akhirat.  Jadikan aku hambaMu yang bersyukur...

Ramadhan... hadirlah dan dakapi ku dalam maghfirahmu...
Pesan Imam Al-Ghazali : “Hiduplah apa kehidupan yang kamu mahu, sesungguhnya engkau mati juga. Cintailah sesiapa pun yang kamu mahu, sesungguhnya engkau tetap berpisah dengannya juga. Buatlah apa kerja yang kamu mahu, sesungguhnya kamu tetap akan dibalas juga.” [Ayyuhal walad : wahai anakku]

Thursday, June 27, 2013

Suram sekeping hati...



Mungkin inilah takdirnya.  Segalanya harus dihadapi dengan tabah, dengan rasa syukur dan tanpa keluh kesah.  Setelah kehilangan yang bertimpa-timpa, kini hatiku suram lagi.  Puteri sulung, harapan dan kesayangan ku pula akan merantau jauh nun ke bumi kenyalang.  Aduh... jauhnya dia terpaksa pergi menabur bakti.  Apa pun jua kami redha.   Ku semat harapan setinggi awan, secerah mentari... seluas samudera bahawa ada hikmah pada segalanya.  Kepada Yang Esa ku berserah... Duhai Tuhan, ku serahkan puteri ku di bawah peliharaMu jua.  Jagai dia Ya Allah,  berikannya yang terbaik, jadikan dia yang terbaik dan jauhkan segala yang buruk dan petaka darinya.  Dengan doa dan restu ku, Kau permudahkan segala urusannya, tenangkan hatinya, damaikan jiwanya, rahmati dia di setiap detik dan ketika...






(Abah.. Wani akan pergi jauh... pada bahu siapa lagi dapat ku sandarkan kepedihan ini, pada siapa ku mengadu...dan menumpang kasih???) Mengapa harus abah pergi  meninggalkan umi....



Friday, June 21, 2013

Apakah engkau bisa...

Apakah engkau bisa menjadi sesetia matahari 
yang tidak pernah mungkir menyinari bumi 
pada setiap pagi...

Apakah engkau bisa mengasihi... seperti rembulan
yang sentiasa hadir menemani malam...

Dan bisakah engkau mengerti bahawa
pada setiap tawa dan airmata... sebenarnya ada cinta.. 





Wednesday, June 5, 2013

Don't Worry Be Happy

Realize that whatever you might be going through, it is temporary. Life is like the tides; you have your highs and your lows, but no situation is permanent. Things will get better at some point. The sun is always shining behind the clouds.








Wednesday, May 29, 2013

Tahniah duhai puteri...

Abah, semalam hari konvokesyen Wanie.   Alhamdulillah syukur dan happy sangat dengan kejayaannya... namun sedih juga kerana kegembiraan ini tidak dapat kita raikan bersama.  Emak pun dah tak der untuk menyaksikannya... huhu...  (Suka duka ku tanggung sendiri... )

Sekalung tahniah buat puteri tersayang... am proud of u...  







Sunday, May 26, 2013

Kehilangan demi kehilangan demi kehilangan... (Aku yang ditinggalkan...)

2.35 pagi, 23 Mei 2013, sekali lagi aku kehilangan insan tercinta.  Ibu telah pergi buat selamanya.  Bermula dengan kehilangan bapa tersayang pada 2 Feb. 1995, diikuti dengan pemergian abang ku yang ke-3, disusur pula dengan abang ipar (abang Jang) dan 6 bulan kemudian pemergian suamiku sendiri... Ah.. betapa aku telah ditinggalkan oleh insan-insan yang ku kasih...

Sedih...memang sedih.  Namun redho atas tiap ketentuaanNya adalah yang terbaik.  Sesungguhnya tiada yang kekal di dunia ini... Kini tiada lagi tempatku mengadu, tiada lagi tempatku bermanja... Hilang sudah insan-insan ku mencurah kasih... semuanya telah pergi dan tak kan kembali....   Ketika arwah bapa pergi, aku masih ada emak dan hubby.  Kini...hubby tiada, emak pun telah dijemput Ilahi... Dan aku... terus-terusan kehilangan... Doaku agar roh-roh insan tersayang di tempatkan di kalangan hamba-hambaNya yang beriman dan beramal solleh...  Amin.  (Entah esok, entah kan lusa aku pula akan menyusuli...)


Alfatihah...


Wednesday, May 15, 2013

Alunan sepi sekeping hati... (hahaha.. macam gempak jer...)

Wah.. hari yang agak kosong...
Tenang dengan hanya riak-riak kecil beralun. 
Hembusan bayu sepoi-sepoi bahasa...

Ku cari seraut wajah...
Ku temu hanyalah bayangan..
Dan... alunan sepi pun menyapa lagi...





  

Wednesday, May 8, 2013

Di saat aku merasakan cintamu semakin pudar...

 Izinkan aku copy & paste kisah di bawah untuk renungan bersama...




Suami saya adalah seorang jurutera, saya mencintai
sifatnya yang semulajadi dan saya menyukai perasaan
hangat yang muncul di hati saya ketika bersandar
dibahunya.
3 tahun dalam masa perkenalan dan 2 tahun dalam masa
pernikahan, saya harus akui, bahawa saya mulai merasa
letih...lelah, alasan-alasan saya mencintainya dulu
telah berubah menjadi sesuatu yang menjemukan. Saya
seorang wanita yang sentimental dan benar-benar
sensitif serta berperasaan halus. Saya merindui
saat-saat romantis seperti seorang anak kecil yang
sentiasa mengharapkan belaian ayah dan ibunya. Tetapi,
semua itu tidak pernah saya perolehi. Suami saya jauh
berbeza dari yang saya harapkan. Rasa sensitifnya
kurang. Dan ketidakmampuannya dalam menciptakan
suasana yang romantis dalam perkahwinan kami telah
mematahkan semua harapan saya terhadap cinta yang
ideal.

Suatu hari, saya beranikan diri untuk mengatakan
keputusan saya kepadanya, bahawa saya inginkan
penceraian.

"Mengapa?"Dia bertanya dengan nada terkejut.

"Siti letih, Abang tidak pernah cuba memberikan cinta
yang saya inginkan." Dia diam dan termenung sepanjang
malam di depan komputernya, nampak seolah-olah sedang
mengerjakan sesuatu, padahal tidak.

Kekecewaan saya semakin bertambah, seorang lelaki yang
tidak dapat mengekspresikan perasaannya, apalagi yang
boleh saya harapkan daripadanya? Dan akhirnya dia
bertanya.

"Apa yang Abang boleh lakukan untuk mengubah fikiran
Siti?" Saya merenung matanya dalam-dalam dan menjawab
dengan perlahan.

"Siti ada 1 soalan, kalau Abang temui jawapannya
di dalam hati Siti, Siti akan mengubah fikiran Siti;
Seandainya, Siti menyukai sekuntum bunga cantik yang
ada ditebing gunung dan kita berdua tahu jika Abang
memanjat gunung-gunung itu, Abang akan mati. Apakah
yang Abang akan lakukan untuk Siti?"

Dia termenung dan akhirnya berkata, "Abang akan
memberikan jawapannya esok." Hati saya terus gundah
mendengar responnya itu.

Keesokan paginya, dia tidak ada di rumah, dan saya
menemui selembar kertas dengan coretan tangannya
dibawah sebiji gelas yang berisi susu hangat yang
bertuliskan...

'Sayangku, Abang tidak akan mengambil bunga itu
untukmu, tetapi izinkan Abang untuk menjelaskan
alasannya." Kalimah pertama itu menghancurkan hati
saya. Namun, saya masih terus ingin membacanya.

"Siti boleh mengetik di komputer dan selalu mengusik
program didalamnya dan akhirnya menangis di depan
monitor, Abang harus memberikan jari-jari Abang supaya
boleh membantu Siti untuk memperbaiki program
tersebut."

"Siti selalu lupa membawa kunci rumah ketika Siti
keluar, dan Abang harus memberikan kaki Abang supaya
boleh menendang pintu, dan membuka pintu untuk Siti
ketika pulang."

"Siti suka jalan-jalan di shopping complexs tetapi
selalu tersasar dan ada ketikanya sesat di
tempat-tempat baru yang Siti kunjungi, Abang harus
mencari Siti dari satu lot kedai ke satu lot kedai
yang lain mencarimu dan membawa Siti pulang ke rumah."


"Siti selalu sengal-sengal badan sewaktu 'teman baik'
Siti datang setiap bulan, dan Abang harus memberikan
tangan Abang untuk memicit dan mengurut kaki Siti yang
sengal itu."

"Siti lebih suka duduk di rumah, dan Abang selalu
risau Siti akan menjadi 'pelik'. Dan Abang harus
membelikan sesuatu yang dapat menghiburkan Siti
dirumah atau meminjamkan lidah Abang untuk
menceritakan hal-hal kelakar yang Abang alami."

"Siti selalu menatap komputer, membaca buku dan itu
tidak baik untuk kesihatan mata Siti, Abang harus
menjaga mata Abang agar ketika kita tua nanti, abang
dapat menolong mengguntingkan kukumu dan
memandikanmu."

"Tangan Abang akan memegang tangan Siti, membimbing
menelusuri pantai, menikmati matahari pagi dan pasir
yang indah. Menceritakan warna-warna bunga yang
bersinar dan indah seperti cantiknya wajahmu."

"Tetapi sayangku, Abang tidak akan mengambil bunga itu
untuk mati. Kerana, Abang tidak sanggup melihat
airmatamu mengalir menangisi kematian Abang."

"Sayangku, Abang tahu, ada ramai orang yang boleh
mencintaimu lebih daripada Abang mencintai Siti."

"Untuk itu sayang, jika semua yang telah diberikan
oleh tangan, kaki, mata Abang tidak cukup bagi Siti.
Abang tidak akan menahan diri Siti mencari tangan,
kaki dan mata lain yang dapat membahagiakan Siti."

Airmata saya jatuh ke atas tulisannya dan membuatkan
tintanya menjadi kabur, tetapi saya tetap berusaha
untuk terus membacanya lagi.

"Dan sekarang, Siti telah selesai membaca jawapan
Abang. Jika Siti puashati dengan semua jawapan ini,
dan tetap inginkan Abang tinggal di rumah ini, tolong
bukakan pintu rumah kita, Abang sekarang sedang
berdiri di luar sana menunggu jawapan Siti." "Tetapi,
jika Siti tidak puas hati, sayangku...biarkan Abang
masuk untuk mengemaskan barang-barang Abang, dan Abang
tidak akan menyulitkan hidupmu. Percayalah, bahagia
Abang bila Siti bahagia."

Saya terpegun. Segera mata memandang pintu yang
terkatup rapat. Lalu saya segera berlari membukakan
pintu dan melihatnya berdiri di depan pintu dengan
wajah gusar sambil tangannya memegang susu dan roti
kesukaan saya.

Oh! Kini saya tahu, tidak ada orang yang pernah
mencintai saya lebih dari dia mencintai saya. Itulah
cinta, di saat kita merasa cinta itu telah
beransur-ansur hilang dari hati kita kerana kita
merasa dia tidak dapat memberikan cinta dalam
'kewujudan' yang kita inginkan, maka cinta itu telah
hadir dalam 'kewujudan' yang tidak pernah kita
bayangkan sebelum ini.
 
Cuba kita ambil ikhtibar dari
cerita ini..

 
cinta sampai syurga...

“Just because somebody doesn't love you the way you want them to, doesn't mean they don't love you with everything they got”