I Follow...

Showing posts with label Jangan Bersedih. Show all posts
Showing posts with label Jangan Bersedih. Show all posts

Tuesday, August 5, 2014

KITA TETAMU SENJA.. (Di saat aku merindui mu...)


KITA TETAMU SENJA..

Tersenyum
seketika memikirkan perjalanan cinta yang hanya menemui jalan mati.
Tidak ada niat untuk melukakan hati siapa-siapa.
Soal hati aku juga tidak mampu memaksa.
Perjalanan ini sudah terlalu jauh.
Di mana penghujungnya aku sendiri tidak pasti.
Yang pasti cinta itu takkan ku ulangi.
Sakit yang aku rasakan masih terasa hingga kini.
Kecewa yang asyik menyelubungi.
Nekad,
hanya cinta Allah yang akan ku buru.
Namun,
jika cinta itu bertandang lagi biarlah pencarian cintaku berakhir di atas sandaran cintamu...




 

Wednesday, October 30, 2013

Layang-layang...

Bagaikan layang-layang putus tali...

Duhai hati, sabarlah.. duhai jiwa tenanglah...
duhai hati, pasrahlah... duhai jiwa yakinlah...
setiap malam pasti ada siangnya..
setiap hujan pasti ada panasnya...
usah biarkan hati mu kelemasan, terkapai-kapai mencari dahan berpaut...
jangan izinkan hatimu disakiti.. jangan benarkan jiwamu dilukai...
walau sebesar mana badai melanda... bersabarlah...
(Sesungguhnya aku ingin menangis... meraung semahunya...!!!)





Thursday, September 26, 2013

Ku cari dia...

Dalam kegelapan, dalam kesuraman, dalam kekalutan ku mencari dia.... Dia ku jadikan matlamat hidup ku, dia adalah sebab untuk ku meneruskan hidup, dia ku gantungkan harapan... pada dia ku cari sebuah kebahagiaan... dia, dia,. iyer..dia.... Tapi aku lupa... dia juga tidak punya apa-apa... dia jua seperti ku yang tidak punya apa-apa.... Pantas saja ku disakiti... enak saja ku dilukai...
  
"Makhluk adalah miskin tidak ada apa apa. Tujuan hidup sebenar ialah Laa ila haillallah, membuang semua perkara di hati kecuali Allah. Isteri yang mencari kebahagiaan dari suami akan tertekan kerana suami tidak ada apa apa cuma makhluk ALlah. Cari kebahagiaan dengan mengenal Allah dan mencari redha Allah"... -  Prof Dr Muhaya
  
"Ya Allah... terimalah aku, hambaMu yang lemah dan hina ini.  Jangan biarkan aku bergantung dan meminta selain dariMu.  Jangan izinkan hatiku dilukai.. Anugerahi aku kebahagiaan dalam mencariMu, rahmati aku sentiasa di bawah lindunganMu... Wahai Yang Maha Mendengar... dengarlah rayuanku... Wahai Yang Memperkenankan doa... kabulkan permintaanku... Aku juga ingin bahagia...."






Sunday, September 8, 2013

Bila sepi itu bertandang lagi... (Ia tidak pernah pergi...)

Sesungguhnya ia tidak pernah pergi.  Ia tidak pernah meninggalkan ku, walau sepantas mana ku cuba melarikan diri, walau sekuat mana aku cuba menghindari... namun ia tetap membayangi setiap gerak ku... Mungkin aku harus pasrah.  Biarlah ia terus hadir, biarlah ia terus menyelubungi diri ini... Pasti ini yang terbaik untuk ku, agar aku selalu dekat padaNya...







Wednesday, September 4, 2013

Selamat hari lahir (Hanya doa dari kami mengiringi hari lahir mu..)

Hari ini 4 September adalah ulangtahun hari lahir mu.  Kali ini aku dan anak-anak tidak lagi dapat mengucup tangan mu, makan bersama dan berdoa seperti selalu... juga tiada lagi ucapan 'Happy Birthday abah...'  Di hari ulangtahun mu kali ini cuma doa dan Al Fatihah yang dapat kami hadiahkan.  Namun rindu kami pada mu tidak pernah pudar... Mungkin dengan menatap gambar-gambarmu sedikit sebanyak dapat mengubat rindu kami. Wajah mu yang sering mengukir senyuman tak mungkin kami lupakan... kasih sayang, kesabaran dan ketulusan hati mu tidak mungkin terbalas... Sayang... terima kasih kerana menyintai dan menyayangi diri ini... Dan syukur ku tidak terhingga bahawa kita telah dikurniai dengan putera dan puteri yang baik. Mereka anak-anak yang begitu menyokong dan prihatin.  Abah... umi selalu doakan yang terbaik untuk anak-anak kita dan InsyaAllah umi dan anak-anak akan cuba untuk jadi yang terbaik.  Damailah abah di sana... Abah seorang suami dan abah yang baik..  pasti Allah tempatkan abah di tempat yang baik juga... Aminnnn...  


Thursday, August 1, 2013

Bila Takbir Bergema...


Ramadhan telah semakin hampir ke penghujungnya... Tak lama lagi akan bergemalah takbir di Syawal mulia.  Teman-teman pejabat semuanya sibuk dengan persiapan Hari Lebaran.  Awal-awal dah mohon cuti untuk balik kampung.  Aku pulak blank jer kepala ni.  Tak tahu apa yang harus dipersiapkan.  Nanti balik kampung, rumah pun tiada berpenghuni.  Kalau dulu sibuk fikir nak masak apa di pagi raya dengan emak sebab selepas solat Aidil Fitri rumah emak akan sesak dengan anak-anak dan cucu-cucu... hingga tak cukup pinggan mangkuk dan cawan dibuatnya.  Selalunya emak akan suruh aku buat nasi impit, kuah kacang, rendang.  Tidak ketinggalan mee rebus... :-)  masa tu memang rasa letih tapi ikut jer la cakap emak.  Dia nak menjamu anak cucunya... Tapi kini semuanya tinggal kenangan.  Emak telah tiada... aduh sedih sangat.. Tiada lagi suara emak yang suruh itu dan ini...Tiada lagi emak untuk ku gembirakan hatinya.. untuk ku ikut perintahnya... Memang benar kata orang, kita akan lebih menghargai sesuatu apabila kita telah kehilangannya.  "Mak.. Yah rindu sangat kat mak... :-( "  (Al-Fatihah).  

Bukan ketiadaan emak saja yang membuatkan ku terasa sepi dan hambar untuk menyambut Hari Raya tahun ni.  Tambah sebak dan pilu hubby pun telah dijemput pergi.  Raya tahun lepas kami berhari raya di hospital jer sebab pada dua Hari Raya hubby terpaksa dikejarkan ke hospital kerana demam panas dan jangkitan kuman.  2 minggu juga dia ditahan di wad.  Tidak ingin aku mengingati saat-saat pilu sebegini. Tak sampai hati untuk ku kenang semula saat-saat derita yang ditanggungnya.  Sudah-sudahlah aku melihat penderitaannya.. Cukup-cukuplah.. Telah ku tetapkan bahawa aku hanya ingin mengingatinya dalam keadaan dia yang paling baik, paling sihat, paling ceria.  Aku ingin mengingatinya dengan senyuman terukir di bibirnya.   Kerana dia yang terbaik, kerana dia yang terindah....kerana dia telah menemaniku selama 24 tahun...(Ya Allah, rahmati rohnya... tempatkannya dalam golongan hambaMu yang beriman dan beramal solleh...) Aminnn....

Pon begitu... bila ku kenang dan lihat muka anak-anak ku rasakan tidak wajar untuk aku hilang semangat.  Mereka telah kehilangan seorang ayah yang selama ini bersama-sama sibuk melayan kerenah mereka menyambut Hari Raya... Dan kini adalah menjadi tanggungjawab ku sebagai ibu untuk mempastikan anak-anak ku bahagia dan gembira.  Selagi aku masih ada, tidak mungkin ku abaikan kebahagian mereka.  Aku harus lebih bersemangat, lebih kuat.  Kita akan sambut Hari Raya tahun ini seperti biasa.  Kita akan masak-masak kat rumah opah... kita buka luas-luas pintu rumah opah untuk sedara mara datang bertandang. Kita juga akan menziarahi sanak saudara Insha Allah.  Pastinya opah dan abah juga mengharapkan kita gembira.  Tentu opah dan abah tak suka kita bersedih lebih-lebih lagi di hari mulia ini.... Jom.. kita raikan Hari Mulia ini dengan penuh kesyukuran dan marilah kita iratkan ikatan tali silaturrahim di hari lebaran ini...  Mari baca apa kata Dr. Maza .DI SINI. "Ini Hari Kemenangan, Bukan Hari Ratapan"

Pulanglah...

Thursday, June 27, 2013

Suram sekeping hati...



Mungkin inilah takdirnya.  Segalanya harus dihadapi dengan tabah, dengan rasa syukur dan tanpa keluh kesah.  Setelah kehilangan yang bertimpa-timpa, kini hatiku suram lagi.  Puteri sulung, harapan dan kesayangan ku pula akan merantau jauh nun ke bumi kenyalang.  Aduh... jauhnya dia terpaksa pergi menabur bakti.  Apa pun jua kami redha.   Ku semat harapan setinggi awan, secerah mentari... seluas samudera bahawa ada hikmah pada segalanya.  Kepada Yang Esa ku berserah... Duhai Tuhan, ku serahkan puteri ku di bawah peliharaMu jua.  Jagai dia Ya Allah,  berikannya yang terbaik, jadikan dia yang terbaik dan jauhkan segala yang buruk dan petaka darinya.  Dengan doa dan restu ku, Kau permudahkan segala urusannya, tenangkan hatinya, damaikan jiwanya, rahmati dia di setiap detik dan ketika...






(Abah.. Wani akan pergi jauh... pada bahu siapa lagi dapat ku sandarkan kepedihan ini, pada siapa ku mengadu...dan menumpang kasih???) Mengapa harus abah pergi  meninggalkan umi....



Wednesday, May 29, 2013

Tahniah duhai puteri...

Abah, semalam hari konvokesyen Wanie.   Alhamdulillah syukur dan happy sangat dengan kejayaannya... namun sedih juga kerana kegembiraan ini tidak dapat kita raikan bersama.  Emak pun dah tak der untuk menyaksikannya... huhu...  (Suka duka ku tanggung sendiri... )

Sekalung tahniah buat puteri tersayang... am proud of u...  







Sunday, May 26, 2013

Kehilangan demi kehilangan demi kehilangan... (Aku yang ditinggalkan...)

2.35 pagi, 23 Mei 2013, sekali lagi aku kehilangan insan tercinta.  Ibu telah pergi buat selamanya.  Bermula dengan kehilangan bapa tersayang pada 2 Feb. 1995, diikuti dengan pemergian abang ku yang ke-3, disusur pula dengan abang ipar (abang Jang) dan 6 bulan kemudian pemergian suamiku sendiri... Ah.. betapa aku telah ditinggalkan oleh insan-insan yang ku kasih...

Sedih...memang sedih.  Namun redho atas tiap ketentuaanNya adalah yang terbaik.  Sesungguhnya tiada yang kekal di dunia ini... Kini tiada lagi tempatku mengadu, tiada lagi tempatku bermanja... Hilang sudah insan-insan ku mencurah kasih... semuanya telah pergi dan tak kan kembali....   Ketika arwah bapa pergi, aku masih ada emak dan hubby.  Kini...hubby tiada, emak pun telah dijemput Ilahi... Dan aku... terus-terusan kehilangan... Doaku agar roh-roh insan tersayang di tempatkan di kalangan hamba-hambaNya yang beriman dan beramal solleh...  Amin.  (Entah esok, entah kan lusa aku pula akan menyusuli...)


Alfatihah...


Monday, April 22, 2013

Maafkan umi...

Ku cuba untuk tidak menulis kisah ini.. kerana ianya kisah pilu yang cuba ku nafikan... Namun... hmmmm....

"Dia sikit-sikit macam abah kan umi?" kata Shiha sambil tersenyum.  "Hmmm... ok.." itu sahaja yang dapat ku katakan.  Sengaja aku tak mahu mengulas panjang.  Sangka ku semuanya akan habis setakat itu sahaja.  Namun malam tadi sambil kami bersantai menonton tv, Shiha yang berada di dakapan ku tiba-tiba mendongak dan berkata "umi.. betul kan?".  Lembut suaranya, redup pandangannya.   "Apa yang betul?" sahut ku, namun di hati ku sudah terdetik, ini mesti soal itu.  "Betul kan dia macam abah.." katanya diiringi dengan deraian airmata... Ya Allah... sedihnya. Ku dakap erat puteri kecil ini.  Ku kucup dahinya, ku belai rambutnya... Sayang...hadiahkan Al-fatihah untuk abah yer.. 





Maafkan umi Shiha, umi tak tahu apa yang harus umi buat.  Umi tak tahu apa yang umi harus katakan untuk damaikan hati Shiha.  Umi juga macam Shiha... kadang kala tidak dapat menahan perasaan...  Tapi kita harus pasrah sayang.  Doakan abah damai di sana.  Kita kena meneruskan hidup kita dengan baik.  Umi serahkan pada Allah untuk menentukan hari-hari kita yang seterusnya.  Allah Maha Tahu... umi percaya Allah telah merancang sesuatu yang terbaik untuk kita... Ya Allah... lenyapkan duka dan kecewa ini... kurniakan kami setitis bahagia....duhai Yang Maha Pengasih...






Monday, April 15, 2013

Nikmat hidup pada memberi... (Reasons to live..)

Tidak pernah ku terfikir bahawa salah satu sebab kita hidup adalah untuk memberi. Tidak juga pernah ku sedari bahawa kebahagiaan dan kepuasan hidup terletak kepada kemampuan dan kerelaan kita untuk memberi... Memberi tidak semestinya berbentuk kebendaan, kemewahan dan wang ringgit.  Memberi kasih sayang yang ikhlas, memberi maaf, belas kasihan dan bermurah hati mendoakan kebaikan untuk seseorang juga pemberian yang tiada nilai tandingannya... Maka memang benarlah bahawa:  'Nikmat hidup pada memberi...'  Sesungguhnya apabila kita terasa kehilangan, kekosongan dan di saat kita merasakan bahawa tiada sebab untuk meneruskan hidup maka di waktu itu carilah jalan agar diri menjadi sebab untuk orang lain merasa bahagia....Bak kata orang putih "For those who feel they have no reason to live, be someone else's reason to live.."




(Doa untuk teman...)

Ya Allah, lenyapkan derita yang sedang ditanggung oleh temanku, ringankan bebannya, temukan dia dengan kebahagiaan yang dicari.  Bahagiakan dia dan anak-anak... - Hana, Fatin, Faiq dan Akif
(Doa ku sentiasa mengiringi kalian...)



Friday, April 5, 2013

Alhamdulillah... memadaikah ucapan itu?

Well... telah terlalu lama aku meluahkan rasa sepi, sedih dan pilu di halaman ini.  Seolah-olah aku ditakdirkan hanya untuk berduka.  Tentu sekali TIDAK!.  Allah tidak akan pernah menganiayai hambaNya.  Tiap yang terjadi dalam hidupku pasti ada hikmah yang tersembunyi...

Oleh itu hari ini aku ingin duduk sebentar... merenung kembali detik-detik hidup ku... izinkan aku mensyukuri setiap yang telah Allah takdirkan untuk diriku yang kerdil ini.  Aku bersyukur bahawa Allah telah memberikan aku masa lebih 3 tahun merawat dan berkongsi derita dengan hubby melawan kanser yang dihidapinya. Melihat penderitaannya sahaja sudah cukup untuk meluluhkan seluruh hati dan perasaan ku.  Ingin ku laungkan pada dunia bahawa dia adalah yang terbaik yang aku pernah ada. Diberi peluang bersamanya amat ku syukuri.  Kecekalan, kesabaran dan ketabahan hubby tiada bandingannya.  3 tahun, walaupun dalam keadaan derita, dia tidak pernah menyusahkan ku... Allah, rahmati dia, tempatkannya di kalangan hambaMu yang solleh.  Amin....

Setelah hubby pergi, aku kehilangan arah.  Termangu sendiri, tidak tahu apa yang harus aku lakukan untuk meneruskan hidup ini.  Bangun pagi, tiada lagi sepasang mata yang mengekori ku, tiada lagi bibir lesu yang mengukirkan senyuman... Aku tidak lagi perlu tergesa-gesa menyediakan bubur nasi, tidak perlu lagi menyuapkan ubat, memandikan, memotong kuku... aahhhh...  binggung aku kini, kerana tiada apa lagi yang harus ku bimbangkan,  tiada lagi tanggungjawab yang harus ku tunaikan...  semuanya hilang... semuanya telah tiada... Dan.. telah kosongkah jiwa ini?...

Hah.. bukankah tadi ku katakan aku ingin mensyukuri setiap yang terjadi dalam hidupku?  Maafkan aku...:-)  (Sering lupa dan tersasar... ) Sesungguhnya aku amat bersyukur kerana dalam sekelian hambaNya, Dia pilih aku untuk menghadapi semua ini.  Aku bersyukur oleh kerana semua kejadian ini, aku lebih kerap merintih dan memohon pertolonganNya... Aku bersyukur kepadaMu bahawa penderitaan hubby telah berakhir dan telah Kau jemputnya dengan aman.  Aku bersyukur kerana aku diberi kesihatan yang baik, kehidupan yang selesa, anak-anak yang sentiasa membantu dan prihatin.  Aku bersyukur, sangat sangat bersyukur bahawa sesungguhnya aku masih diberi nikmat, nikmat yang tidak terhitungkan banyaknya... Alhamdulillah... Alhamdulillah... Alhamdulillah...

Dan oleh yang demikian Ya Allah, setiap detik dan langkah perjalanan ku, setiap denyutan nadi dan nafasku, aku mohon keredhaanMu, keberkatanMu, HidayahMu, PetunjukMu...Kerana aku tidak pernah mampu, melainkan dengan izin dan pertolonganMu...

“Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak dapat menentukan jumlahnya.” (Surah an-Nahl, ayat 18)

Monday, April 1, 2013

Sepi itulah aku...

Hari ini telah 4 bulan 13 hari hubby pergi meninggalkan kami.  Selama itu juga hidup ku kian kosong dan hampa.  Ku cuba mencari damai di hati.  Syukurlah anak-anak begitu prihatin dan mengerti.  Namun hidup ku dihimpit sepi... Ingin ku lepaskan diri dari sepi ini namun sepi itulah yang terindah...  Ku buru jaluran cahaya untuk keluar dari kegelapan ini, namun gelita inilah yang paling damai... kerana sepi dan gelita itulah AKU...







Wednesday, March 27, 2013

Selamat Hari Lahir untuk ku...

Semalam 26 Mac adalah hari lahirku... 12.03 malam panggilan selamat hari lahir yang pertama ku terima dari putra ke-3 ku Muhamad Fahmi.  Tq sayang... Terima kasih kepada semua yang sms dan hantar ucapan di facebook.  Terima kasih Salmah, Zura, Aju...dan Ali...  Pagi-pagi lagi dah hantar sms ucapan selamat untuk ku... Boss pun antar sms gak... Tq.  Aku sayang korang semua...

Pun begitu hari lahir ku tidak seperti biasa.  Tiada doa dan ucapan dari hubby... selalunya selepas solat maghrib hubby akan baca doa dan ucapkan 'selamat hari jadi'... aduhai... kini tiada lagi doa dan ucapan darinya...

Tuhan.. tabahkan hati menerima segala ketentuanMu...

Tuesday, March 12, 2013

Ku Berserah PadaMu


Tuhan...
untuk setiap usaha dan daya yang ku lakukan
untuk setiap doa yang ku lafazkan
ku serahkan jua kepadaMu...
biarlah Engkau menentukannya...

Tuhan...
Bimbing dan ajari aku agar lebih redha
lebih pasrah pada setiap ketentuanMu
tabah dan sabarkan hati ku menerima
takdirMu...

Pun begitu duhai Tuhan..
aku berharap agar ada bahagia untuk ku
bagi meniti sisa-sisa kehidupan yang entah bila akan berakhir...

Tidak akan pernah aku melawan takdirMu...


If only i have the chance...




Monday, March 11, 2013

Mengapa? oh mengapa????


Mengapa.. mengapa Kau tanamkan rasa ini..
sedangkan aku baru sahaja kehilangan...
luka hatiku nan masih merah berdarah
terus terusan dihiris pilu...
ditusuki sembilu...

Tuhan...
jangan biarkan hati ku terus merintih
usah biarkan hati ku terus pedih
titiskan setitik bahagia
buat aku...
hambaMu yang hina... 
 



 

Pergilah duhai kesedihan... izinkan aku bahagia...


Tuesday, February 26, 2013

Terlalu singkat waktu itu...

Masa terus berputar.. aku masih di sini merenung masa masa yang lalu.  Terlalu singkat rasanya waktu yang Kau berikan untuk ku bersamanya.  Belum puas aku menatap wajahnya, belum puas ku rasakan kehangatan kasihnya.. belum puas aku mencurahkan cintaku padanya... Dan kini aku hanya mampu menangisi kehilangannya... 

Kehilangan ini menjadikan aku seorang yang begitu beremosi.  Apa saja boleh membuat aku menangis.  Mendengar lagu, menonton TV, bertemu teman... semua tiba-tiba boleh buat aku berasa begitu sayu...

Jangan tinggal daku....




Thursday, January 10, 2013

Kami semua rindukannya....


Diam tak diam, pejam celik, pejam celik, dah 10 hari kita berada di tahun 2013.  Laju jer masa berlalu... Namun hati ku masih suram.  Hidup ku bagaikan di awang awangan... Ku cuba menghapus duka namun bagaikan tiada apa pun yang mampu membahagiakan... Biarlah.. akan ku turuti ke mana sahaja arus hidup yang telah ditentukan untuk ku...


Dua malam yang lepas semasa aku menemani Shiha tidur, tiba-tiba aku terlihat esakannya.  Bila ku tanya mengapa, katanya "Shiha nak abah... Shiha nak balik kampung, nak jumpa abah, nak lawat kubur abah.." Semakin lama semakin kuat esak tangisnya... Aduhai.. luluh rasa hatiku hanya Tuhan yang tahu... Betapa perit dan sukarnya aku untuk memujuk gadis kecil ini, sedangkan hatiku sendiri sedang parah dan berdarah... Dalam pada itu aku cuba memujuknya.. Airmata kami bersatu... Iyer.. kami semua rindukan dia... Semakin lama semakin terasa kehilangannya.. 




Monday, December 31, 2012

2013... bagaimana akan ku hadapinya...?

Berada di ambang 2013 aku tertanya-tanya bagaimana harus ku hadapinya?  2013 tahun yang bakal ku jalani tanpa dia di sisi...

Hidup tanpa dia macam tak complete jer.. bagai irama tanpa lagu... bagai bulan tanpa bintang.  Telah hilang kesempurnaan hidup bagaikan hilang sebelah kaki, bagaikan buta sebelah mata... Sana sini kosong dan sepi.. Ku pandang sini kosong, pandang sana pun kosong... Walaupun anak-anak ada, tapi masih terasa sepi dan kosong.  Walau seriuh manapun keadaan sekeliling aku masih terasa sepi yang mencengkam jiwa. Rindu padanya tidak pernah padam... Kadangkala tanpa sedar aku berkata-kata sendirian... seolah-olah sedang berbicara dengannya...

Bukan mudah untuk meneruskan hidup ini tanpa dia.  Ahhh.. tiada guna aku menyesali... Ya Allah, bimbinglah hambaMu ini... Rahmati roh suamiku dan tempatkannya bersama-sama hambaMu yang solleh....Amin..

"SELAMAT TAHUN BARU 2013" untuk AKU..





Thursday, December 20, 2012

Turning over a new leaf...

 Hari ini aku bangun pagi, menghadap cermin dan ku katakan pada diriku..."cukuplah... i am tired of being sad...i need to turn over a new leaf"... Mulai hari ini akan ku tinggalkan segala kepiluan itu.  Akan ku hadapi hari-hari yang mendatang dengan lebih redo dan dengan lebih positif.  Allah ambil suami ku, pasti ada hikmahnya.  Dia yang pergi tak mungkin akan kembali... Namun dia akan tetap kekal bertakhta di hati... Cuma aku yang masih diberi waktu untuk bernafas di muka bumi ini wajib meneruskan hidup.  Hari ini aku bertekad, akan ku gunakan setiap waktu dan setiap anugerahNya kepada ku dengan lebih baik.  Ya.. aku boleh melakukannya.  Aku boleh berdiri dengan kaki sendiri.. aku boleh melangkah dengan kaki sendiri... Pergantunganku hanya padaMu Ya Allah.  Bantulah aku, bimbinglah aku.  Tetapkan matlamat hidupku hanyalah untuk mencari redoMu....Abadikan cintaku hanya untukMu...Ilahi...terimalah hambaMu yang hina dan lemah ini...



You are here... in my heart.. dulu, kini dan selamanya...