"Hari ini dan hari-hari seterusnya pasti ada air mata dan ketawa, ada mudah dan payah, ada patah dan tumbuh, modal kita cuma satu, hadapilah segalanya sebagai hamba Allah. Mengaku lemah, untuk diperkukuhkan-Nya, mengaku jahil untuk diberikan ilmu, mengaku miskin untuk diperkayakan-Nya. Kita berusaha melurus segala tadbir, agar mampu menerima setulus segala takdir. Sentiasa mengharapkan yang terbaik, tetapi terus bersedia untuk hadapi yang terburuk." - Genta Rasa
(Merdu bait-bait puisi ini.. menyentuh pilu sanubari ku... Hadirlah kesedihan, andai itu bisa lebih mendekatkan ku kepada Yang Maha Pengasih Yang Maha Penyayang... Ya Ilahi Rabbi...)
HADIRNYA KESEDIHAN (karya Dr. Mohd Asri Zainul Abidin) kesedihan.. engkau sering datang tanpa diundang engkau menjelang tanpa ungkapan salam engkau menerpa masuk tanpa dijemput engkau hinggap lekat di berbagai sudut dengan wajah yang menyimbah resah.. dengan lidah yang menempah gundah.. dengan cara yang membawa lara.. dengan bahasa yang menjelma duka.. bagimu rupa yang bermacam warna.. hingga ku lupa membezakan nama.. kesedihan.. pada awal mengenalimu, aku begitu terkedu wajahmu nan suram seakan hidup menjadi kelam aku terdiam dan terbungkam, siang bagaikan malam.. cahaya bagaikan kelam.. kau cuba palutkan rasa takut dan kalut sehingga nafas menjadi semput dan susut lantas kau rampas ceria hidup yang dihirup
kesedihan.. tika ini, telah lama ku mengenalimu apa tidak, sering kau lalu dan bertamu entah berapa kian kali kau datang ke sini entah berapa waktu ku kau ganggu entah berapa medan dah kau ku tentang.. entah berapa lama kita berkawan tanpa sayang datang dan pulangmu sama sahaja hadir dan pergi tiada bedanya..
kesedihan! sejak dulu apa yang ku tahu.. setiap kali ku lihat rupa sayumu, ku panggil syahdu nama tuhanku setiap kali ku dengar telapak kakimu bergerak, ku seru tuhanku dengan sebak.. setiap kali ku rasa kau mula melangkah, jiwa ku pun pasrah, pada Allah ku berserah
kesedihan! ku tahu.. kau kan terus datang, sukar dihalang.. kau kan terus bertamu, sukar dijemu..
namun, pabila kita berjumpa.. kau kan hambat dengan airmata munajat kau kan ku lontar dengan esakan istighfar kau kan ku siaga dengan tangisan doa kau kan ku gempur dengan rasa syukur
kesedihan..hadirlah jika itu yang kau mahu moga jelmamu selalu membangunku pilu di malam syahdu untuk ku basahi pipi dengan meratapi: “ya rabbi! Kasihi hambaMu ini!
No comments:
Post a Comment