Setelah lebih setahun, baru tergerak hati untuk menulis tentang ini. Tentang sesuatu yang amat pedih dan perit untuk dihadapi oleh dia, anak-anak dan diriku sendiri.
Aku dan Joe diijabkabulkan pada 8 Disember 1988. Kehidupan rumahtangga kami biasa-biasa sahaja, tiada badai yang melanda malah diserikan dengan kehadiran 4 orang cahayamata. Alhamdulillah, syukur atas kurniaanNya. Namun hidup ini adalah satu perjalanan yang panjang. Bukanlah hambaNya kalau kita tidak diuji. Ujian kami bermula pada 22 Ogos 2009 yakni hari pertama Ramadhan 1431 Hijrah. Pada hari tersebut Joe pergi untuk mendapatkan rawatan batuk-batuk dan sakit belakang yang dideritainya hampir sebulan., walaupun telah mendapatkan rawatan dari dua buah klinik sebelum ini. Doktor yang merawatnya pada hari itu menyarankan agar Joe segera ke hospital kerana dia merasakan bahawa mungkin paru-paru Joe berair. Joe memilih untuk ke Pusat Perubatan Universiti Malaya. Setelah mendapat surat rujukan dari doktor tersebut, kami terus ke PPUM. Setibanya di sana, Joe dimasukkan ke bilik rawatan kecemasan. Serius ni.. Detik hatiku. Aku diarahkan agar tunggu di luar. Hampir 4 jam kemudian baru ku terima panggilan telefon dari Joe agar aku masuk ke bilik kecemasan tersebut. Betul-betul waktu berbuka puasa. Mujur aku teringat untuk membeli roti dan air untuk habuan berbuka. Pesakit datang dan pergi. Macam-macam kecemasan yang ku lihat. Ada kecederaan akibat kemalangan, ada yang sesak nafas dan lain-lain lagi. Para doktor dan jururawat di situ berbuka puasa sambil berdiri sahaja. Besar pengorbanan doktor dan jururawat ni... bisik hatiku. Kami terus menunggu dan hanya pada pukul 10.00 malam baru doktor kembali kepada Joe dan mengatakan bahawa Joe terpaksa dimasukkan ke wad. 8 hari Joe di wad. Tidak banyak yang diberitahu kepada kami tentang penyakit Joe. Ujian demi ujian, pemeriksaan demi pemeriksaan dilakukan namun kesihatannya masih tidak memuaskan. Mungkin doktor-doktor di situ sedang berusaha untuk mencari dan mengenal pasti penyakit suami ku itu. Bosan di wad, akhirnya Joe mohon kebenaran untuk berehat di rumah. Kesihatannya tidak menunjukkan tanda-tanda untuk pulih namun Joe gagahkan diri berpuasa. Seminggu sebelum hari raya, kami balik kampung. Untuk beraya kononnya. Tetapi Joe masih dalam kesakitan. 2 hari selepas raya kami balik semula ke Kuala Lumpur. Rupanya masa tu Joe telah tidak tertahan menanggung kesakitan. Tambahan pula dia mula terasa sesak nafas. Kami ambil keputusan untuk mendapatkan rawatan di Damansara Specialist. Setelah dibuat x-ray, hampir 3/4 dari paru-paru sebelah kanan Joe ditenggelami air. Tanpa bertangguh Joe diarahkan untuk menjalani pembedahan kecil bagi mengeluarkan air tersebut. 3 hari ditempatkan di ICU, lebih kurang 3 liter air dikeluarkan dari paru-parunya. Dari ujian air paru-paru dan ujian-ujian lain yang dijalankan, akhirnya pada tanggal 30 September 2009 Joe disahkan menghidap kanser paru-paru (
Adenocarcinomas) pada tahap ke-3. Kata orang menerima berita mendapat kanser sama seperti menerima hukuman mati. Aku lebih concern dengan perasaan Joe, dari perasaan ku sendiri... Aku cuba tersenyum. Ku katakan padanya, "tak pe... kita usaha berubat.." Masih jelas terbayang airmukanya, pandangan matanya., waktu itu... dalam hatiku berkata "walau apa pun yang terjadi akan kami hadapinya bersama... aku kena kuat, aku kena sangat-sangat kuat... "
Dipendekkan cerita lepas tu Joe menjalani 6 kali rawatan chemotherapy di Damansara Specialist yang menelan belanja lebih kurang RM70 ribu. Nasib baik juga ada insuran yang menampung sedikit sebanyak, juga tidak dilupakan sumbangan, pertolongan, doa serta sokongan semangat dari kaum keluarga. Terima kasih tak terhingga pada kak Anjang, Abang Udin, mak, kak cik, kak andak... abang ipar, kakak ipar, anak-anak buah dan seluruh kaum keluarga (ramai kalau nak disebutkan semuanya..) IKIM majikan ku juga menampung 70% daripada perbelanjaan tersebut. Alhamdulillah. Namun segalanya tidak berakhir di situ. Joe memerlukan rawatan lanjut. Akhirnya kami mengambil keputusan untuk kembali mendapatkan rawatan di PPUM. Di PPUM Joe menjalani 6 kali lagi rawatan chemotherapy . Habis gugur rambut. Misai macho suami ku juga turut gugur...:-(. Selalunya dalam masa seminggu lepas chemotherapy Joe akan rasa lemah, kurang selera makan dan akan berasa tidak selesa. Berat mata memandang tentu berat lagi bahu Joe yang menanggung...
Salam pn eve..
ReplyDeleteDlaam situasi sebegini kesabaran dan semangat perlu kuat..berikan sokongan kata2 semangat kepada tersayang..Hidup ini tidak selalunya indah ada ketikanya Dia memberi dugaan seagai hambaNya kita redha...saya memahami kerana saya juga pesakit kanser..pembedahan, chemo, radioterapi, infection lung, air dlm lung & jantung..itulah yg harus saya lawan...
Wsalam. Saya sedar, berat mata memandang, berat lagi derita yang menanggung kesakitan itu. InsyaAllah saya akn cuba sebaik mungkin untuk menjaganya, membuat yang terbaik untuk dia... Dan saya doakan agar Orchid juga berada dalam keadaan sihat dan tabah dalam menjalani dugaan ini...
ReplyDelete