I Follow...

Sunday, November 25, 2012

Akhirnya kau pergi jua...

Setelah 3 tahun 2 bulan hubby bertarung dengan penyakitnya, pada tanggal 5 Muharram 1434H bersamaan 19 November 2012, hari Isnin pukul 11.07 malam hubby menghembuskan nafasnya yang terakhir. Sedih pilu hati ini hanya Tuhan yang tahu.  Aku sangkakan aku telah cukup bersedia dan cukup kuat untuk menghadapi kehilangannya... tapi aku salah.  Bukan mudah melepaskan mu hubby... :-)

Allah lebih mengasihinya.  Sekian lama hubby menanggung kesakitan dengan amat sabar dan tabah.  Tidak pernah ku dengar keluhan dan kesalan dari bibirnya.  Cuma riak mukanya sahaja membayangkan keperitan itu.  Yang selalu terukir di bibirnya hanyalah senyuman.  Senyuman yang akan terus kekal di hati aku dan anak-anak.

Hubby dikejarkan ke PPUM pada 3.00 pagi 1 Muharram (15 Nov) yang lalu.  Menjelang waktu Maghrib aku bersama Wani dan Solihah membaca doa akhir tahun dan doa awal tahun di sisi hubby yang kelihatan lesu dan batuk-batuk.  Selesai berdoa Wani menyapu balm di dada abahnya.  Solihah pula seperti biasa membaca Al-Quran di sisi hubby.  Belas sungguh hatiku melihat hubby yang tidak berhenti-henti batuk.  Setelah selesai membaca Al-Quran Solihah mencium dahi abah.  Kebetulan selepas itu batuk hubby berkurangan dan terlena kepenatan agaknya.  Solihah mendapatkan ku dan berkata "umi, saya buat magic, saya cium abah, abah dah berhenti batuk dan tidur.."  Putri kecil ini memang ada sajer kerenahnya.  Aku senyum dan berkata, "Alhamdulillah, bagus la tu..".  Malam tu aku beberapa kali terjaga kerana terdengar hubby batuk-batuk lagi.  Aku bangun dan sapukan balm.  Tak tahu apa lagi yang dapat ku bantu untuk meringankan bebannya.  Namun pada pukul 3.00 pagi tu aku terjaga lagi.  Ku dengar hubby batuk-batuk dan nafasnya turun naik.  Hubby sukar bernafas..!  Cepat-cepat aku kejutkan Wani dan Faiz. Memandangkan tiada apa yang dapat kami bantu di rumah maka terus saja kami bawa hubby ke PPUM.  Hubby dirawat di Wad Kecemasan dan hanya pada pukul 2.00 petang barulah di tempatkan di Wad 12U katil 21.  

Doktor menyatakan bahawa mereka berpendapat paru-paru hubby ada nanah mungkin kerana jangkitan.  Pada pukul 11.00 pagi Jumaat (2 Muharram) doktor minta kebenaran untuk mengeluarkan nanah tersebut.  Pernafasan hubby agak stabil walaupun masih memerlukan bantuan oksigen.  Hari Sabtu, tiub yang menyalurkan nanah tersebut ditanggalkan.  Pagi itu hubby nampak ceria.  Bila aku sampai pagi tu hubby terus tanya "tak kerja hari ni?"  "Hari ni hari sabtu la bah.." Balas ku.  Ku belai wajah hubby.  Ku cium tangannya dan aku katakan padanya "Abah nampak sihat hari ni..." Hari Sabtu dan Ahad ramai rakan dan saudara mara yang datang melawat.  

Pagi Isnin 5 Muharram (19 Nov) aku ambil keputusan untuk ke pejabat.  Maklumlah cuti pun dah tak banyak yang tinggal.  Wani yang hantar aku ke pejabat pagi tu.  Namun aku rasa tidak berapa sedap hati.  Buat sikit-sikit kerja, mundar mandir dan cerita tentang hubby dengan kawan-kawan yang bertanya kabar.  Pukul 9.30 pagi aku naik berjumpa sahabat ku Zura.  Aku lepak-lepak di tempatnya dan mengataakan aku tak ader mood nak buat kerja.  Pukul 10.00 pagi aku pergi solat dhuha dan diikuti dengan solat hajat. Tepat-tepat saja aku selesai solat hajat, aku terima panggilan telefon dari Wani.  Dia dalam perjalanan untuk menjemput ku ke hospital.  Dari esak tangisnya aku dapat meneka keadaan hubby membimbangkan...  

Pukul 11.15 pagi, aku, Wani dan Solihah tiba di hospital.  Perjalanan ke hospital terasa amat lambat sekali,  Setibanya kami di hospital Faiz telahpun berada di sisi hubby.  Tidak lama kemudian Fahmi pula tiba. Memang benar, keadaan hubby tenat.  Sukar bernafas walaupun dengan bantuan oksigen.  Aku dan anak-anak terus membacakan Surah Yasin.  Faiz sesekali membisikkan syahadah ke telinga hubby. Kami bergilir-gilir membisikkan syahadah ke telinga hubby.  Tengahari dan petang itu ramai yang datang menziarah. Adik-adik hubby, sepupu-sepupu, anak-anak buah, anak buah ku Arif dan isteri, dan kawan-kawan Faiz dari UM.  Semuanya membacakan Surah Yasin di sisi hubby.  Alhamdulillah...

Dan...akhirnya pukul 11.07 malam hubby menghembuskan nafasnya yang terakhir.  Ku saksikan sendiri saat-saat itu.  Ku genggam erat tangannya.  Disaksikan juga oleh Wani, 3 orang adik hubby (Razita, suami, dan Zamhuri) dan 2 orang anak buah hubby (Ilman dan Afiq).  Kebetulan waktu itu Faiz dan Fahmi pulang ke rumah untuk mandi dan makan setelah sejak pagi berada di hospital.  Memang telah ditakdirkan demikian rupa kerana sebaik saja mereka sampai ke rumah, belum sempat mandi pun, hubby telah nazak dan belum sempat mereka sampai semula ke hospital, hubby telah pun tiada.  Tidak sampai 1 jam Faiz dan Fahmi meninggalkan hospital.  Fahmi melahirkan rasa terkilan, Faiz pula nampak tenang.  Tak mengapalah duhai putera-puteraku, sekurang-kurangnya kalian telah puas memeluk dan mengucup dahi abah serta membisikkan syahadah kepada arwah.  Kalian juga telah menjaga abah dengan baik sepanjang abah terlantar sakit.  Faiz pula mengimamkan solat jenazah abah.  Pasti abah amat menghargai dan berbangga terhadap kalian.

Al Fatihah...


Damailah dikau di sana... Al Fatihah

"Andai telah tiba masanya abah pergi, abah pergi lah... jangan risaukan umi dan anak-anak.  Umi ampunkan segala dosa dan kesalahan abah.  Abah juga ampunkan segala dosa umi dan anak-anak.  Abah pergilah.. umi redho..."  Sempat ku bisikkan ke telinganya pada petang Isnin itu... aku harap arwah mendengarnya dan mengampunkan dosa-dosa kami...

You always here with us... here... in our heart...

5 comments:

  1. Assalamualaikum...
    Semoga puan & anak-anak terus tabah.
    Semoga sumai puan di kalangan orang-orang yang mendapat Rahmat Allah...

    ReplyDelete
  2. Inallilah .
    Salam takziah dr suhaila.
    Semoga kekuatan akk terus menjadi inspirasi saya.
    Alfatehah.

    ReplyDelete
  3. Assalamualaikum...
    Al-Fatihah buat Arwah suami..
    Semoga Eve dan anak2 tabah dgn ujian Allah SWT..
    Sesungguhnya Allah lbh menyayanginya dan memberhentikan penderitaannya..Sememangnya kanser amat menyakitkan..Mrk yg melalui rawatan kanser je yg tahu penderitaan dialami pesakit..Masih terasa lagi perjalanan ubat kemo dlm badan saya..Masih terasa lemah walaupun 3 thn berlalu itupun hanya 8 kali je kemo inikan pulak yg dilalui berpuluh rasanyakan oleh arwah suami Eve..Saya kagum air mukanya nampak tenang je..

    Bertuah Arwah mempunyai anak2 yg soleh dan solehah...

    ReplyDelete
  4. Assalamualaikum.
    Tahziah utk pn eve sekeluarga. Sy ckup faham apa yg pn n ank2 lalui skrg krn sy n ank2 jg telah melaluinya...walaupun 2 thn telah berlalu sy masih lg merindui arwah suami... Hnya dgn meredhai ketentuanNya sj dpt menenangkan hati ini... dr Dia kita dtg, pd Dia kita kembali. Semoga arwah2 ditempatkan dikalangan hambanya yg saleh. Amin.

    ReplyDelete
  5. Terima kasih semua, atas doa dan kata-kata semangat kalian. Pemergiannya adalah satu kehilangan yang besar bagi kami anak beranak, namun Allah lebih mengetahui apa yang terbaik untuk kami... Arwah akan sentiasa di hati...

    ReplyDelete