I Follow...

Friday, April 5, 2013

Alhamdulillah... memadaikah ucapan itu?

Well... telah terlalu lama aku meluahkan rasa sepi, sedih dan pilu di halaman ini.  Seolah-olah aku ditakdirkan hanya untuk berduka.  Tentu sekali TIDAK!.  Allah tidak akan pernah menganiayai hambaNya.  Tiap yang terjadi dalam hidupku pasti ada hikmah yang tersembunyi...

Oleh itu hari ini aku ingin duduk sebentar... merenung kembali detik-detik hidup ku... izinkan aku mensyukuri setiap yang telah Allah takdirkan untuk diriku yang kerdil ini.  Aku bersyukur bahawa Allah telah memberikan aku masa lebih 3 tahun merawat dan berkongsi derita dengan hubby melawan kanser yang dihidapinya. Melihat penderitaannya sahaja sudah cukup untuk meluluhkan seluruh hati dan perasaan ku.  Ingin ku laungkan pada dunia bahawa dia adalah yang terbaik yang aku pernah ada. Diberi peluang bersamanya amat ku syukuri.  Kecekalan, kesabaran dan ketabahan hubby tiada bandingannya.  3 tahun, walaupun dalam keadaan derita, dia tidak pernah menyusahkan ku... Allah, rahmati dia, tempatkannya di kalangan hambaMu yang solleh.  Amin....

Setelah hubby pergi, aku kehilangan arah.  Termangu sendiri, tidak tahu apa yang harus aku lakukan untuk meneruskan hidup ini.  Bangun pagi, tiada lagi sepasang mata yang mengekori ku, tiada lagi bibir lesu yang mengukirkan senyuman... Aku tidak lagi perlu tergesa-gesa menyediakan bubur nasi, tidak perlu lagi menyuapkan ubat, memandikan, memotong kuku... aahhhh...  binggung aku kini, kerana tiada apa lagi yang harus ku bimbangkan,  tiada lagi tanggungjawab yang harus ku tunaikan...  semuanya hilang... semuanya telah tiada... Dan.. telah kosongkah jiwa ini?...

Hah.. bukankah tadi ku katakan aku ingin mensyukuri setiap yang terjadi dalam hidupku?  Maafkan aku...:-)  (Sering lupa dan tersasar... ) Sesungguhnya aku amat bersyukur kerana dalam sekelian hambaNya, Dia pilih aku untuk menghadapi semua ini.  Aku bersyukur oleh kerana semua kejadian ini, aku lebih kerap merintih dan memohon pertolonganNya... Aku bersyukur kepadaMu bahawa penderitaan hubby telah berakhir dan telah Kau jemputnya dengan aman.  Aku bersyukur kerana aku diberi kesihatan yang baik, kehidupan yang selesa, anak-anak yang sentiasa membantu dan prihatin.  Aku bersyukur, sangat sangat bersyukur bahawa sesungguhnya aku masih diberi nikmat, nikmat yang tidak terhitungkan banyaknya... Alhamdulillah... Alhamdulillah... Alhamdulillah...

Dan oleh yang demikian Ya Allah, setiap detik dan langkah perjalanan ku, setiap denyutan nadi dan nafasku, aku mohon keredhaanMu, keberkatanMu, HidayahMu, PetunjukMu...Kerana aku tidak pernah mampu, melainkan dengan izin dan pertolonganMu...

“Dan jika kamu menghitung nikmat Allah, nescaya kamu tidak dapat menentukan jumlahnya.” (Surah an-Nahl, ayat 18)

No comments:

Post a Comment