Dia termenung jauh di jendela. Memerhatikan titis-titis hujan itu sudah cukup nikmat baginya. Alunan lagu Selamat Hari Raya masih berkumandang di radio. Maklumlah baru seminggu lebih umat Islam berhari raya. Kenangan-kenangan di Hari Raya masih segar di minda. Tapi baginya Syawal ini cukup sederhana. Tiada apa yang nak dimeriahkan sangat. Agaknya masa untuk bersukaria itu telah berlalu baginya. Dia lebih banyak berfikir dan merenung hari-hari yang bakal dilaluinya. Merenung ibu yang telah dimamah usia menginsafkannya. Tertanya-tanya bagaimana agaknya dia akan melalui usia sesenja itu. Jika tidak kesampaian seusia itu, bagaimana pula dia bakal menghadapi saat-saat dijemputNya kelak. Kecut hatinya memikirkan itu semua. Hatinya tambah runtuh bila melihat si dia yang dikasihi berjuang untuk meneruskan hidup. Belas, sedih, sayu dan bimbang menyelubungi segenap kalbu, jiwa dan raganya. Baginya untuk menempuh hari esok juga sesuatu yang amat mengerunkan. "Bagaimanakah hidup ku di esok hari?"... Detik hatinya. Merenung masa depan bagaikan merenung lorong yang dipenuhi kabus tebal... Dingin... Dia tidak bisa meneka apa yang akan dilaluinya di hadapan sana. Dulu dia tidak pernah merasa takut dan gusar untuk terus melangkah, tapi kini dia bagaikan hilang arah... Dulu dia tidak pernah rasa cemburu melihat kebahagiaan orang lain, tapi sekarang hatinya sering diruntun pilu... "kenapa kebahagiaan itu bukan milikku..." Anehnya ada waktu dan ketika fikirannya kosong... kosong...bagaikan tiada apa langsung yang singgah di benak fikirnya... Lalu dibiarkan saja fikirannya lepas bebas... Bagaikan burung yang bebas beterbangan, terbanglah... terbanglah ke mana sahaja... kerana hidup ini tidak pernah menjanjikan apa-apa selain dari untuk kembali kepadaNya... (It is not easy to be an 'insan'...)
Notes:
Ini hanya secebis rasa yg bisa terhakis pada bila-bila masa sahaja. Ia datang dan ia pergi tanpa diminta... Hadirnya satu anugerah, perginya satu kurnia... :-)
No comments:
Post a Comment