Hari ni dah 8 hari umat Islam berhari raya. Selalunya Hari Raya amat sinonim dengan bermaaf maafan. Dan di Hari Raya juga kita sering mengingati insan-insan yang dah lama tak jumpa atau insan-insan yang punya 'sentimental value' kat kita. Aku juga tak terkecuali... terkenang aku pada satu kisah di satu ketika dahulu... Kisah tentang seorang sahabat... :-)
Suatu ketika dahulu ada seorang sahabat yang ku namakan 'H'. Masa aku mula-mula masuk kerja di pejabat lamaku, dialah yang begitu banyak membantu. Dari tolong tunjuk ajar mengenai kerja hinggalah ke membeli sarapan dan makan tengahari. Dia begitu baik dan berbudi bahasa. Oleh kerana dia amat sudi membantu, tanpa ku sedari aku banyak bergantung kepadanya. Dan pantang ada waktu terluang kami selalu akan habiskan bersama. Bagiku H jujur bersahabat denganku. Selain dari mengambil berat tentang diri ku, dia juga begitu mengambil berat tentang suamiku, anak-anak dan juga seluruh keluarga ku. Hubungan kekeluargaan kami baik sekali.
Masa terus berlalu, setelah beberapa lama bekerja, aku mula semakin pandai menyesuaikan diri di pejabat dan semakin ramai rakan-rakan lain. Dengan itu sedikit demi sedikit aku kurang bergantung kepadanya lagi. Serentak dengan itu, H juga mula berubah. Dia mula jadi pemarah, tiba-tiba akan bermasam muka dengan ku dan tanpa segan silu selalu juga mengkritik diriku. Mungkin dia mula merasa terpinggir. Setiap hari ada jer kelakuan ku yang tidak kena padanya. Sehinggakan bidang tugas aku pun dipertikaikan. Baik dengan boss salah, senyum dengan rakan-rakan boss salah, malah senyum dengan client pun salah... Isy isy isy... pehal la pulak nih?... Aku kan seorang setiausaha.. dah memang kerja aku la senyum-senyum tu... tak kan la client datang ofis aku nak bermasam muka pulak.... Hmmm... macam tak logik jer kan???...
Hmmm... tapi tak per lah, dah lama aku lupakan semua itu dan dah lama juga aku memaafkannya. Sebagai insan biasa, kita tidak pernah terlepas dari melakukan kesilapan. Sebelum meninggalkan tempat kerja lama ku dulu, aku dah bersungguh-sungguh minta maaf dari H. Walau apa pun aku tidak pernah melupakan segala jasabaik yang pernah dihulurkannya kepada ku. Apa yang aku agak terkilan ialah begitu keras hatinya terhadap ku. Sikit pun dia tak sudi memandangku, apatah lagi membalas ucapan ku...
Kini hampir 12 tahun berlalu. Sangkaku setelah 12 tahun, hatinya mungkin agak lembut sedikit tapi anggapan ku meleset. H masih H yang sama. Disember 2010 kami terserempak di satu majlis perkahwinan. Dari jauh ku lihat dia berbual-bual mesra dengan suami ku. Bila aku datang menghampiri, dia langsung tidak menoleh, apatah lagi nak bertanya kabar. Biarlah... mungkin besar sangat salah ku kepadanya. Namun begitu, jauh di sudut hatiku, aku berharap dan percaya bahawa H telah memaafkan ku, cuma dia belum sanggup untuk mengakuinya dan belum sanggup menatap wajah ku....
Buat H, Selamat Hari Raya Aidil Fitri. Semoga kita semua sentiasa diberkati dan dirahmati Allah... Amin..
No comments:
Post a Comment