I Follow...

Monday, April 23, 2012

Akukan ada...


Ok, sebenarnya aku agak kecewa hari ni.  Sedihpun ada.  Agak kecewa mengenangkan nasib hubby.  Hubby telah berkhidmat selama 33 tahun 5 bulan 22 hari.  Satu tempoh masa yang begitu lama.  Bekerja dengan tekun dan bersungguh-sungguh walau kadangkala terpaksa berpanas, berhujan dan sesekali terbang tinggi mencecah awan... Tiba masanya ditakdirkan bahawa hubby ditimpa penyakit.  Bukan calang-calang penyakit, tapi penyakit yang kronik.  Kanser paru-paru tahap IV.  Kalau ingin mencari kesalahan, atau sebab musabab mungkin juga sel-sel kanser di tubuhnya menjadi aktif disebabkan tugas hubby sedikit sebanyak terdedah kepada bahan-bahan radioaktif.  (Kerja terakhir hubby di bahagian satelit - Entah, akupun kurang arif tentang kerja-kerja yang dilakukannya).  Tidak jua kami ingin memikirkannya kerana itu sudah memang tugas dia.  Bila hubby tidak lagi mampu bekerja, maka disarankanlah untuk bersara.  Ok, fine, maka ditandatanganilah pelbagai dokumen untuk proses persaraan itu.  Dengan itu, secara rasminya hubby menjadi pesara bermula 1 Mac 2012.  Dan pada 17 April 2012, hatiku tergerak untuk menjenguk akaun bank hubby yang berbaki beberapa ringgit sahaja itu (kerana sudah tidak dibayar gaji), dan ku dapati ada sejumlah wang telah dikreditkan iaitu wang ganjaran perkhidmatannya.  Syukur, Alhamdulillah. Namun aku agak terkejut kerana sudahlah jumlah yang diperolehi tidak seberapa, dipotong pula beberapa ribu lagi.  Aku tertanya-tanya.  Minta penjelasan hubby, dia langsung tidak ingat apa-apa dan serahkan segalanya bulat-bulat kepadaku untuk menyelesaikannya.  Pihak jabatan hubby pula membisu seribu bahasa.  Hubby tidak dimaklumkan apa-apa tentang urusan pencen tersebut.  Memang begitulah prosidurnya mungkin.  

Dalam keadaan hubby yang begini, akulah yang terkial-kial menelefon ke sana ke sini untuk mendapatkan penjelasan.  Akhirnya aku difahamkan bahawa pihak jabatan telah terlebih membayar  gaji kepada hubby.  Oleh sebab itu mereka potong wang ganjaran tersebut untuk ambil semula lebihan itu.  Kata pegawai JPA itu lagi, "jika ingin tahu lebih lanjut, sila hubungi pihak jabatan suami puan."  Hmmm... ok.  Tapi mengapakah pesara tidak dimaklumkan tentang perkara itu?  Potongan dibuat tanpa sebarang penjelasan.  Secara logiknya kesilapan itu bukanlah dibuat oleh si pesara pun...

Lagi satu perkara yang aku tidak ketahui dan buat aku kecewa, (aku jer, orang lain dah lama tahu agaknya) bahawa walaupun seseorang itu telah berkhidmat selama 40 tahun sekalipun, bayaran pencen hanya diambil kira selama 30 tahun perkhidmatan sahaja.  Natijahnya?.. semakin sidikit lah jumlah pencen bulanan hubby... Tak apalah, rezeki Tuhan ada di mana-mana... Namun aku tidak dapat menafikan bahawa aku rasa sedih, sayu dan pilu bila mengenangkan nasib hubby -  memang benarlah resam hidup di dunia, bila kita sihat, kuat dan berada, ramailah orang di sekeliling kita, ramailah yang suka kepada kita, tapi bila kita telah tidak berdaya, bila kita rebah, tiada siapa lagi yang akan pedulikan kita.. yang tolong untuk pijak-pijakkan kita lagi ramai lah...!

Hmmm... Biarlah hubby kan? Andai itu suratanNya... Akukan ada? dan aku akan terus ada.....




1 comment:

  1. Ya, Kak Hawa mesti terus di sebelahnya..Allah itu Maha Mengetahui atas segala sesuatu..izinkan ummu kongsi cerita ini untuk makluman orang lain..

    ReplyDelete