Ramadhan datang lagi. Esok insha Allah kita semua akan mulakan ibadah puasa. Namun Ramadhan kali ini amat berbeza. Kali ini aku berpuasa tanpa dua orang insan yang ku kasih. Tahun lepas masih ada hubby dan emak. Masih terbayang di mataku betapa hubby cuba berpuasa pada hari pertama puasa tahun lepas. Tapi waktu berbuka puasa dengan hanya sedikit air dan sesuap makanan, hubby muntah. Hari-hari seterusnya walaupun tidak berpuasa hubby memang tiada selera makan. Kini walaupun dia telah tiada, aku terasa ingin untuk mendakap tubuh lesu itu agar hilang lenyap deritanya.. (damailah hendaknya kau di sana...)
Emak pula setiap kali berbuka puasa mesti inginkan kuih-kuih yang lembut dan manis. Masa dulu-dulu emak selalu buat kuih banyak-banyak, bertukar juadah dengan jiran-jiran dan bawa ke surau. Seronoknya puasa masa tu. Kesian pula anak-anak ku tidak dapat merasai suasana sebegitu.
Ok.. semua itu telah berlalu. Segalanya hanya tinggal kenangan yang kadangkala begitu mengusik jiwa. Semoga Allah sentiasa memberkati mereka dan tempatkan mereka dalam golongan hambaNya yang beriman dan beramal solleh. Amin...
Aku yang masih berdiri di sini harus terus melangkah. Biar apa pun, aku kena kuat, tabah dan berani untuk terus menjalani hidup ini. Allah telah takdirkan begini, dan sudah pasti Allah lebih tahu apa yang terbaik untukku. Ya Allah, jadikan setiap langkah ku membawa aku lebih hampir kepadaMu. Kurniakan aku kebaikan di dunia dan di akhirat. Jadikan aku hambaMu yang bersyukur...
Ramadhan... hadirlah dan dakapi ku dalam maghfirahmu...
Pesan Imam Al-Ghazali : “Hiduplah apa kehidupan yang kamu mahu,
sesungguhnya engkau mati juga. Cintailah sesiapa pun yang kamu mahu,
sesungguhnya engkau tetap berpisah dengannya juga. Buatlah apa kerja
yang kamu mahu, sesungguhnya kamu tetap akan dibalas juga.” [Ayyuhal
walad : wahai anakku]
No comments:
Post a Comment